Mencari Redha Ilahi

Redha Ilahi- Nikmat Tertinggi.

Hari Ini..

Hari ini, usia aku semakin menganjak mendekati hari matiku...

Ya Allah..
Jika hari ini menjadi hari yang memenyaksikan terpisahnya roh dari jasadku,
aku tidak tahu mampukah aku menjawab persoalan dari malaikatMu di alam kubur nanti..


Ya Ba'ith..
JIka hari ini adalah hari yang memisahkan aku dari nikmat dunia...
aku tidak tahu bagaimana keadaan ku saat dibangkitkan di mahsyar..


Ya Rahman..
Jika hari merupakan hari yang menjadi tanggal dicabutnya nyawaku,
aku tidak tahu apakah ada jasaku pada agamaMu..


Ya Ghaffar..
ampunilah dosa-dosaku..
ahli keluargaku..
sahabat-sahabat seperjuanganku..


Ya Maliki Yaumiddin..
kasihankanlah kami di saat kami di mahsyar nanti..


Ya Malikussamaati wal Ardh....
bantulah hambaMu..
untuk sentiasa mensyukuri NikmatMu..
untuk sentiasa mentauhidkan ke-EsaanMu..
untuk sentiasa sujud dihadapan KebesaranMu..


Ya Rabbul Alamin..
sesungguhnya ibadatku tidak mampu untuk ku menggapai syurgaMu..
melainkan dengan hanya rahmatMu...


Ibnu Zukefeli,
7 Disember 09, Medan..

SEJARAH HITAM ISLAM - PERANG SIFFIN. (Part 2)

Sebelum Saidina Uthman Bin Affan dibunuh, dia sempat membaca surah-surah dari al-Qur’an. Dan riwayat menyatakan Saidina Uthman mati dibunuh dalam keadaan sedang membaca al-Qur’an. Baju yang dipakai oleh Saidina Uthman semasa dia dibunuh dan jari-jari isteri Saidina Uthman yang putus akibat ditetak oleh pemberontak semasa mempertahankannya dibawa oleh seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Nu’man bin Basyir ke Syam dan dipersembahkan kepada Gabenor Syam. Ketika itu, posisi Gabenor Syam dipegang oleh Muawiyyah bin Abi Sufian, yang juga merupakan sepupu kepada Saidina Uthman bin Affan.

Kemudian, Muawiyyah meletakkan baju yang berdarah dan jari-jari isteri Saidina Uthman tadi di atas mimbar masjid supaya dapat dilihat oleh penduduk Syam. Melihat keadaan ini, semua penduduk Syam menangis mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Uthman. Lalu, penduduk Syam yang tidak berpuas hati menggesa Khalifah mengambil tindakan Qisas terhadap pembunuh Saidina Uthman.

Ketika itu, posisi khalifah yang kosong diganti oleh Saidina Ali bin Abi Thalib Kamarallahu Wajhah. Apabila Saidina Ali diangkat menjadi khalifah, dia dituduh lambat mengambil tindakan terhadap pemberontak yang membunuh Saidina Uthman, sehingga riwayat mengatakan bahawa setelah lapan bulan berlalu, Khalifah masih belum mengambil tindakan.

Namun, hakikatnya bukan begitu. Saidina Ali bukanlah tidak mahu bertindak, tetapi dia berijtihad bahawa tindakan yang akan diambil tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa dan ijtihadnya ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :
“Gopoh-gapah (tergesa-gesa) itu dari syaitan, dan tenang itu dari Allah”.

Saidina Ali tidak mahu terjadi kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Maka siasatan yang teliti perlu dijalankan. Selain itu, Saidina Ali juga memerlukan masa untuk memahami urusan pentadbiran yang baru dipegangnya.

Tetapi, situasi ini telah dimanipulasi oleh Abdullah bin Tsaba’. Dia menyebarkan fitnah di kalangan penduduk Syam mengatakan bahawa Saidina Ali Bin Abi Thalib bersubahat di dalam peristiwa pembunuhan Saidina Uthman. Oleh kerana itu, dia berlengah-lengah dalam mengambil tindakan terhadap pembunuh Saidina Uthman.

Di Madinah pula, timbul cerita mengatakan bahawa Muawiyah dan penduduk Syam tidak mahu membai‘ah dan mengakui Saidina Ali Karamalluwajhah sebagai Khalifah. Apabila keadaan semakin tegang, tampil dua sahabat Nabi SAW untuk meredakan keadaan. Sahabat tersebut ialah Abu Umamah al-Bahili dan Abu Dharda RA. Mereka berdua pergi ke Syam untuk bertemu dengan Muawiyah.

Setibanya mereka di hadapan Muawiyah, mereka pun berkata, “Wahai Muawiyah.. Mengapakah kamu tidak mahu bai‘ah dan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah yang ke-empat? Lupakah kamu tentang siapakah Saidina Ali itu? Bukankah kamu tahu bahawa Ali Bin Abi Thalib merupakan orang yang terawal memeluk Islam, lebih awal dari kamu dan dan lebih awal dari bapak kamu memeluk Islam. Adakah kamu lupa bahawa Saidina Ali itu merupakan sepupu dan juga menantu kepada Nabi SAW?”

“Wahai Muawiyah.. jangan kamu lupa siapa sebenarnya Saidina Ali, dan dengan segala keistimewaan yang ada pada dia, sesungguhnya dia layak untuk menjadi Khalifah. Maka kenapa kamu tidak mahu bai‘ah kepadanya?”

Mendengarkan pertanyaan dari sahabatnya itu, lalu Muawiyah menjawab: “Janganlah kamu salah faham. Sesungguhnya, aku bukan tidak mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah. Sememangnya dia layak menjadi khalifah dan sememangnya aku tidak layak. Tetapi, aku tidak puas hati kerana dia tidak mengambil tindakan terhadap pembunuh Saidina Uthman. Aku tidak berpuas hati pembunuh Uthman dibiarkan bebas. Aku berijtihad bahawa hukuman Qisas mesti dijatuhkan kerana orang ini telah membunuh Uthman. Aku mahukan ini bukan kerana Uthman sepupu aku, tetapi Uthman itu seorang yang baik dan dia tidak patut dibunuh”.

Namun jawapan yang diberikan tidak mampu menenangkan keadaan. Fitnah dan khabar angin terus menular. Akhirnya, apabila mendengar bahawa Muawiyah tidak mahu membai‘ah kepadanya, lalu Saidina Ali bersama dengan angkatan perang yang terdiri daripada 150,000 orang tentera menuju ke Syam.

Setelah menerima berita mengatakan terdapat angkatan perang dari Madinah sedang menuju ke Syam, lalu Muawiyah mengutuskan angkatan perangnya dengan kekuatan 130,000 orang tentera.

Akhirnya kedua-dua angkatan perang ini bertemu di satu lembah yang bernama Lembah Siffin. Dan di sinilah terjadinya pertumpahan darah besar yang tercetus sesama umat Islam. Ramai dari kalangan sahabat Ridhuanullah ‘Alaihim Ajma‘in di mana di dalam dada mereka tersemat 30 Juz Kalam Ilahi gugur di dalam peperangan ini. Antara sahabat yang gugur di dalam perang ini yang diriwayatkan di dalam sejarah ialah az-Zubair, Talhah dan ‘Ammar Bin Yasir RA...


...........................................................................................................................


Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekalian. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Apabila pintu yang kukuh itu dirobohkan, akan bermulalah fitnah yang besar di alam Islam ini”.

Lalu Saidina Umar al-Khattab bertanya kepada Nabi SAW,
“Ya Rasulullah, siapakah pintu yang kukuh itu?”

Baginda SAW bersabda,
“Engkau”.

Sesungguhnya, terbukti kebenaran sabda Nabi SAW. Bermula dari pembunuhan Saidina Umar al-Khattab, pelbagai fitnah yang timbul, dan dalang yang berada di belakang fitnah ini adalah munafik, yang mengaku Islam tetapi sebenarnya berpura-pura masuk Islam dengan tujuan untuk merosakkan Islam.


......................................................................................................................


Sahabat-sahabat sekalian, ana berpesan kepada diri ana dan dan kalian semua. Jangan sesekali timbul di hati kita prasangka yang tidak baik terhadap para Sahabat Ridhuanullah ‘Alaihim Ajma‘in. Mereka merupakan golongan yang sangat hebat dalam memperjuangkan Islam. Jika tidak diatas usaha dan pengorbanan mereka, tidak mungkin kita dapat menikmati nikmat Islam dan Iman pada hari ini. Nabi SAW bersabda,
"Janganlah kalian sekali-kali mencerca sahabatku, jika seandainya ada diantara kalian menginfakkan emas sebesar gunung uhud, tidak akan mampu mencapai satu secupak yang mereka infakkan, bahkan tidak pula setengahnya.”
(Hadith Sahih Riwayat al-Bukharie)



Imam Al-Lalika`i Rahimahullah meriwayatkan di dalam as-Sunnah (no. 2359) bahwa Imam Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad al-Hanbal Rahimahullah berkata,
“Jika kau melihat seorang berbicara buruk tentang Sahabat, maka ragukanlah keislamannya.”


Apabila kita menulusuri Peristiwa Perang Siffin, jangan sesekali timbul di benak kita mengatakan Muawiyah seorang sahabat yang jahat. Di sini ana kongsikan dua buah hadith untuk renungan kita bersama.


Daripada Ummu Haram binti Milhan, dia berkata:
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Tentera yang mengangotai Angkatan Laut Islam yang pertama, mereka semuanya WAJIB MASUK SYURGA.”

Lalu aku bertanya kepada Rasulullah,
“Ya Rasulullah, adakah saya berada di bersama dalam Angkatan Laut Islam yang pertama ini?”

Rasulullah SAW menjawab,
“Ya, kamu bersama di dalamnya”

Kemudian, Baginda SAW bersabda,
“Tentera yang mula-mula terlibat di dalam perang di Bandar Qaisar, mereka itu diampunkan dosanya oleh Allah SWT”

Kemudian aku bertanya kepada Rasullulah,
“Adakah saya terlibat di dalam pasukan perang ini ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab,
“Tidak”
(Hadith Sahih Riwayat al-Bukharie)



Keterangan:
- Ummu Haram merupakan ibu saudara kepada Anas Bin Malik, khadam kepada Nabi SAW. Namanya tercatat di dalam sejarah sebagai wanita yang banyak berkorban di dalam perjuangan Islam.
- Semasa hadith ini dikeluarkan, tentera Islam hanya terdiri daripada tentera darat. Armada Laut Islam yang pertama dibentuk semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khattab sebagai Khalifah, dimana angkatan ini belayar ke Cyprus untuk melebarkan empayar Islam ke sana. Ummu Haram ada bersama di dalam peperangan ini, dan panglima perang yang mengepalai Armada Laut Islam yang pertama ini adalah Muawiyah bin Abu Sufian RA. Selain itu, isterinya juga turut terlibat di dalam perang ini.

Di dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah mendoakan Muawiyah bin Abi Sufian,
“Ya Allah, ajarkan Muawiyah al-Kitab dan selamatkan dirinya dari siksa api neraka.”
( Hadith Riwayat Ahmad (IV/127) dan Ibnu Hibban (566))


Daripada hadith ini, menunjukkan bahawa Muawiyah merupakan sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh Nabi SAW. Selain itu, Rasulullah juga telah memilih Muawiyah sebagai katibun wahyu. Hal ini membuktikan bahawa ternyata Muawiyah mempunyai kemuliaan dan keistimewaan. Jika tidak, mana mungkin Rasullullah SAW memilih beliau untuk menulis wahyu yang Allah turunkan kepada Baginda.

Sebagai kesimpulan, suka bagi ana untuk mengajak kita semua merujuk kepada apa yang dinyatakan oleh al-Hafizh Ibnu Katsiir Rahimahullah di dalam menilai kisah di sebalik Perang Siffin. Beliau berkata di dalam al-Ba’its al-Hatsits (hal. 182),
“Adapun perselisihan mereka selepas wafatnya Nabi SAW, yang di antara perselisihan tersebut, ada yang terjadi tanpa didasari oleh kesengajaan seperti peristiwa Jamal, ada diantaranya yang terjadi karena faktor IJTIHAD seperti peristiwa SIFFIN. Ijtihad itu BOLEH SALAH dan BOLEH BENAR. Namun, pelakunya dimaafkan jika ia salah, bahkan ia mendapat satu pahala. Adapun ijtihad yang benar, maka ia mendapat dua pahala.”

Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an,
“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(Surah at-Taubah;100)



Waallahu a’lam.


Ibnu Zukefeli,
14 Ramdhan 1430
Medan Indonesia.

*Esok ana exam blok Genitourinary Sistem..Doakan ana yea sahabat-sahabat.. Semoga Allah permudahkan urusan menjawab ana dan sahabat-sahabat 07 yg lain.. Ameen..

Kalendar Akademik USU 2009/2010




Ini merupakan kalendar akademik USU bagi sesi 2009/2010.
(yang ana edit skit supaye senang nk tgk).

Semoga bermanfaat bagi sahabat-sahabat yang sedang merancang aktiviti untuk persatuan, atau dah merancang untuk beli tiket balik cuti =).

Di kesempatan ini juga, semperna ketibaan Bulan Ramadhan yang penuh barakah nanti, ana ingin memohon kemaafan dari sahabat-sahabat sekalian jika ana ada melakukan kesalahan, baik yang ana sedari atau yang tidak ana sedari.

Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyu', diberkati dan dirahmati Allah SWT, insyaAllah..

SELAMAT BERPUASA..
MARHABAN YA RAMADHAN..

sumber: http://www.usu.ac.id/academic-calendar.html

Ibnu Zukefeli,
Medan, Indonesia.
29 Sha'ban 1430

SEJARAH HITAM ISLAM – PERANG SIFFIN. (Part 1)


Sahabat-sahabat sekalian, pernahkah anda membaca mana-mana buku tentang sejarah Islam, lalu timbul di hati kita satu spekulasi yang tidak baik terhadap sahabat-sahabat Baginda SAW?

Sebagai contoh, catatan sejarah mengenai Perang Siffin, di mana perang ini tercetus di antara Khalifah Saidina Ali Karamallahu wajhah dan Muawiyah Bin Abi Sufian Radiallahu anhu. Benarkah perang ini tercetus kerana Muawiyah RA hendak merebut kuasa pemerintahan seperti yang diolah oleh sebahagian catatan sejarah? Atau ianya adalah sebahagian dari dakyah musuh Islam supaya umat islam hari ini memandang rendah kepada para Sahabat Ridhuanullah ‘Alahim Ajma‘in?

Setelah memahami serba sedikit mengenai peritiwa Perang Siffin, ana berasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian mengenai kisah ini.

Tetapi, sebelum itu, suka bagi ana untuk mengemukakan beberapa Hadith Nabi SAW, kerana bagi hemat ana, hadith ini berkait dengan kisah yang bakal kita sama-sama telusuri nanti.

Dari Abi Musa RA, katanya:
“Aku duduk bersama-sama Nabi SAW di dalam sebuah pondok di sebuah kebun dari kebun-kebun di Madinah. Lalu, datang seorang lelaki meminta kebenaran untuk masuk duduk bersama Nabi SAW dan aku. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya satu berita baik, yakni dia AHLI SYURGA”.

Maka aku pun bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita baik itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..”

Selepas beberapa ketika, datang lagi seorang lelaki, meminta kebenaran untuk masuk. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya satu berita baik, yakni dia AHLI SYURGA”.

Maka aku pun bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Umar al-Khattab RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita baik itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..”

Kemudian datang lagi seorang lelaki, meminta kebenaran untuk masuk duduk bersama kami. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Musa, bukakanlah pintu dan izinkan dia masuk, dan khabarkan kepadanya; dia dijanjikan menjadi AHLI SYURGA, DI ATAS UJIAN YANG DIA TERPAKSA TANGGUNG, SEBELUM DIA MATI”.

Lalu aku bukakan pintu, dan aku nampak Saidina Uthman Bin Affan RA. Kemudian aku khabarkan padanya berita dari Nabi SAW itu, lalu dia mengucap “Alhamdulillah..” Kemudian dia berkata, “Allah SWT lah yang akan menjadi penolong aku di saat aku menghadapi ujian sebelum aku mati”.

(Hadith Sahih, Riwayat al-Bukhari)




Dari Anas bin Malik RA, katanya:
“Satu hari aku dengan Nabi SAW dan beberapa sahabat lain, sedang berdiri di atas Bukit Uhud. Bersama dengan kami ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khatab dan Uthman bin Affan. Tiba-tiba Bukit Uhud bergoyang (seakan terjadi gempa), lalu Nabi SAW berkata, “Tenang kamu Uhud!”, dan dengan serta merta Bukit Uhud berhenti bergoyang. Kemudian Nabi SAW bersabda;

“Wahai Uhud! Yang berada di atas kamu sekarang ini bukanlah orang lain tetapi Nabi, Siddiq (Saidina Abu Bakar as-Siddiq) dan Syahidani (dua orang yang bakal mati syahid, iaitu Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman Bin Affan).”

(Hadith Sahih, Riwayat al-Bukhari)


(P/S - Di dalam riwayat lain menyatakan bahawa Anas Bin Malik RA tidak berada bersama Nabi SAWdi atas Bukit Uhud, tetapi dia hanya meriwayatkan hadith ini.
- Hadith ini terbukti kebenarannya selepas kewafatan Nabi SAW. Saidina Umar al-Khattab RA mati ditikam oleh Abu Luklu‘ah ketika mengimamkan solat subuh, dan Saidina Uthman Bin Affan RA mati dibunuh oleh pemberontak pada zaman pemerintahannya)



Daripada Saidatina Aisyah RA, katanya:
“ Peristiwa ini berlaku di rumah aku, ketika itu Nabi SAW sedang tenat (hampir wafat). Nabi SAW berkata, “Aku teringin sangat, kalau boleh, beberapa sahabat berada bersama aku ketika ini”.

Lalu Saidatina Aisyah RA bertanya, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Abu Bakar ke mari?”
Nabi SAW diam tidak berkata-kata.

Seterusnya, Saidatina Aisyah RA bertanya, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Umar al-Khatab ke mari?”
Nabi SAW juga diam tidak berkata-kata.

Kemudian Saidatina Aisyah RA bertanya lagi, “ Ya Rasulullah, mahukah kamu kami panggilkan Uthman Bin Affan ke mari?”
Lalu Nabi SAW berkata, “Ya, panggil dia ke mari”.

Maka Saidina Uthman pun dipanggil lalu dia datang kepada Nabi SAW dengan segera.

Seterusnya Saidatina Aisyah berkata, “Kami tinggalkan Nabi SAW dan Saidina Uthman bersendirian. Setelah kami berada agak jauh, kami nampak Nabi SAW memberitahu sesuatu kepada Saidina Uthman dan tampak perubahan pada riak wajahnya. Dan tidak ada seorang pun mengetahui apakah yang Nabi SAW sampaikan kepada Saidina Uthman ketika itu”

Setelah lama dari saat itu, barulah kami ketahui apa yang sebenarnya Nabi SAW khabarkan kepada Saidina Uthman. Hal ini diceritakan oleh Abu Sahla (hamba Saidina Uthman yang dimerdekakan).

Kata Abu Sahla:
“Pada hari Saidina Uthman dikepung oleh pemberontak yang hendak membunuhnya, ketika itu Saidina Uthman masuk ke rumahnya dan menjeguk melalui tingkap dan berkata,

“Kenapa kamu hendak membunuh aku? Apa yang telah aku lakukan sehingga aku halal dibunuh? Adakah aku pernah membunuh orang sehingga kamu boleh menuntut untuk membunuh aku?”.

Tetapi pemberontak ini tidak menghiraukan pertanyaan Saidina Uthman, lalu mereka naik ke bumbung rumah bersebelahan, dan melompat masuk ke dalam rumah Saidina Uthman lalu mereka menikamnya. Sebelum Saidina Uthman meninggal dunia, dia berkata, “ Sesungguhnya, sebelum Nabi SAW wafat, Nabi ada memberitahu aku suatu janji, dan sekarang aku menuju kearah janji Nabi SAW itu”, dan kata-kata Saidina Uthman itu didengari oleh aku (Abu Sahla)”.

(Hadith Riwayat Imam Ibnu Majjah)



Inilah kisah yang berlaku kepada Saidina Uthman Bin Affan RA, Khalifah yang ketiga di dalam zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin, dan kisah inilah yang memicu kepada terjadinya Perang Sifin.

Sebenarnya, pemberontakan yang terjadi pada zaman Saidina Uthman telah didalangi oleh seorang munafik berbangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam. Munafik ini bernama Abdullah bin Tsaba’, berasal dari Sam‘ah, ibu negeri Yaman. Dia menjelajah ke seluruh tempat dengan satu tujuan; menyebarkan fitnah memburukkan Saidina Uthman. Pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kuffah dan Basrah, sehingga orang yang tidak mengenali Saidina Uthman juga turut membencinya kerana semata-mata percaya kepada dakyah Abdullah Bin Tsaba’.

Banyak tuduhan dan yang mereka lemparkan terhadap Saidina Uthman. Antaranya ialah :
1) Mereka menyatakan bahawa Saidina Uthman mengubah sunnah Nabi SAW. Hal ini timbul apabila pada suatu suatu hari, Saidina Uthman yang tinggal di Madinah datang ke Mekah. Apabila sampai di Mekah, dia tidak menunaikan solat secara Jamak dan Qasar seperti yang menjadi sunnah Nabi SAW apabila Baginda bermusafir, sebaliknya dia menunaikan solat secara Tamam. Lalu mereka menuduh dia tidak mengikuti sunnah Nabi SAW, maka dia tidak layak untuk menjadi Khalifah menggantikan Saidina Umar al-Khattab.

2) Mereka mengatakan Saidina Uthman telah melakukan bid’ah besar, dimana dia telah mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu mushaf sehingga dinamakan Mushaf Uthmani. Sedangkan pada zaman Nabi SAW, Baginda tidak pernah menyatukan al-Qur’an menjadi satu mushaf.

3) Mereka juga menuduh Saidina Uthman yang apabila dia menjadi Khalifah, dia melantik pegawai-pegawai yang muda.

4) Mereka mengatakan apabila Saidina Uthman menjadi Khalifah, adik beradiknya menjadi kaya.

Oleh kerana hasutan ini semakin menular ke dalam masyarakat, akhirnya Saidina Uthman RA menyeru masyarakat supaya berkumpul, lalu dia menjawab segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Berkata Saidina Uthman RA,

“Kamu menuduh aku tidak menghidupkan sunnah Nabi SAW kerana aku menunaikan solat Tamam. Aku bukan tidak mahu menunaikan solat secara Jamak dan Qasar, tapi aku orang Mekah. Walaupun sampai hari ini aku tinggal di Madinah, tapi aku masih ada rumah di Mekah. Isteri aku juga orang Mekah. Jadi, aku menganggap apabila aku datang ke Mekah, bermakna aku pulang ke kampung halaman. Maka aku menunaikan solat secara Tamam. Bukannya aku menafikan orang yang bermusafir tidak boleh solat secara Jamak dan Qasar.”

“Seterusnya kamu tuduh aku melakukan bid’ah yang besar kerana mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu mushaf, sedangkan proses mengumpulkan al-Qur’an ini telah bermula sejak zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq lagi, kemudian diteruskan pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Aku hanya menyempurnakan sahaja tugasan ini dan ia dibukukan pada zaman aku.”

“Kamu menuduh aku melantik pegawai-pegawai muda apabila aku menjadi Khalifah. Tidakkah kamu sedar bahawa bukan hanya aku, Saidina Abu Bakar atau Saidina Umar sahaja yang melantik pegawai-pegawai muda, bahkan Nabi SAW pun pernah melantik Usamah Bin Zaid (anak kepada anak angkat Nabi SAW; Zaid Bin Harithah) yang masih muda untuk mengepalai satu angkatan perang. Aku tidak berbuat salah dengan melantik orang muda, apatah lagi pegawai muda yang aku lantik, bukan kerana umur yang aku nilai, tetapi kebolehan yang ada pada mereka.”

“Kamu tuduh aku apabila aku menjadi Khalifah, adik beradik aku menjadi kaya. Sekarang aku jelaskan pada kamu. Pada hari pertama aku dilantik menjadi khalifah, akulah orang Arab yang paling kaya, yang mempunyai unta dan kambing yang paling banyak di Madinah. Adik beradik aku menjadi kaya bukan disebabkan harta rakyat yang aku ambil, malah aku tidak mengambil harta rakyat satu pun, sebaliknya harta aku yang aku beri pada mereka.”

“Ternyata tuduhan kamu terhadap aku merupakan satu fitnah semata-mata!”

Semasa Saidina Uthman menjawab semua tuduhan yang dikenakan kepadanya, tiada siapa pun yang bangun menentang untuk membuktikan kebenaran tuduhan mereka. Tetapi, dakyah Abdullah bin Tsaba’ telah meresap jauh ke dalam hati pemberontak sehingga mereka tetap bertekad untuk membunuh Saidina Uthman.

Maka akhirnya, Saidina Uthman Bin Affan Radiallahu anhu, mati dibunuh.


Bersambung....

Ibnu Zukefeli,
Medan, Indonesia.
15 Sya’ban 1430H

Konsert Antara Dunia 09



Pengenalan Konsert

Konsert ini yang dinamakan KONSERT ANTARA DUNIA 09 merupakan cetusan idea dari Ahli Jawatankuasa Konsert GAMIS dan Rabbani Productions Sdn Bhd. Julung - julung pertama kalinya dilaksanakan oleh ahli GAMIS yang terpanggil untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dalam menghayati erti sebenar kemanusiaan sebagai seorang Muslim. Muzik dilihat sebagai elemen yang dekat di hati masyarakat dan medan menyebarkan dakwah masa kini di samping mempamerkan kesenian Islam.

Info Konsert
Tema
Menyemarak Kebangkitan, Meneraju Ummah

Tarikh & Masa
1 Ogos 2009 (Sabtu) ; 7.00 malam - 11.00 malam

Tempat
Stadium Malawati, Shah Alam

Anjuran :
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Dengan Kerjasama :
Rabbani Productions (M) Sdn Bhd

Harga Tiket:
RM 10 (Biasa)
RM 30 (Sederhana)
RM 50 (VIP)

Talian Tiket :
Abdul Qahhar : 013-6288614
Ummu Syazwina : 013-2042597

Sepuluh, 10..

Sahabatku sekalian..
Dalam kehidupan seharian, terkadang kita cenderung memerhati dan menghukum orang lain. Tapi, dalam masa yang sama, adakah kita sentiasa bermuhasabah dan meng'hukum' diri kita?
Di kesempatan ini, suka bagi ana mengajak diri ana dan sahabat sekalian untuk merenung dan bermuhasabah, adakah kita tergolong dalam sepuluh yang tersenarai dibawah..

Sama-sama kita renungkan...


SEPULUH JENIS ORANG YANG ZALIM

Sufyan Atsauri berkata ,"Sepuluh macam daripada kekejaman ialah :
1. Seseorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.
2. Seseorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi setiap hari tidak membaca seratus ayat Al-Quran (secara bertertib).
3. Seseorang yang masuk masjid lalu keluar tanpa sembahyang dua rakaat di dalamnya.
4. Seseorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
5. Seseorang yang sampai di di sesuatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak turut serta sembahyang berjemaah.
6. Seseorang yang daerahnya didatangi oleh seorang alim , tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
8. Seseorang yang diundang ke jamuan atau majlis tetapi tiba-tiba tidak menghadirinya.
9. Pemuda yang tidak mempunyai apa-apa kerja tetapi tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
10. Seseorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi daripada makanannya itu.



SEPULUH TANDA HATI MATI

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :
1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.


10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya."
(Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
"Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata :
"Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."



Ibnu Zukefeli,
3.20AM, 14 Rejab 1430,
Kuantan..

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW

*pesanan : untuk lebih memberi kesan kepada hati, suka ana mengajak diri ana dan sahabat-sahabat sekalian untuk membaca isi Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW ini sambil mendengar nasyid "Pemergianmu" dari kumpulan In Team..


Selamat Menghayati..


Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, Baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."


Ibnu Zukefeli,

29 Jamadil Akhir 1430,
Machang, Kelantan.

Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin!

Assalamualaikum..
Sahabat-Sahabat sekalian..
Ana memohon maaf kerana sudah lama tidak berpeluang meng'update' blog ini..
Jadi, di kesempatan ini.. ana ingin berkongsi artikel yang yang ditulis oleh al-Fadhil Ust. Mazlee Malik, Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Islam di UIAM.

Selamat menikmati.. =)

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai" (H.R. al-Bukhari)


Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi'i manusia. Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. Samada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah SWT.

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?

Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.


Penentuan mahar

Antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?

Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.

Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?

Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu.


Cara mengatasinya

Jika benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA, "Nokia – connecting people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin..."

Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada, Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?


1. Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat

Salah seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.

Pernah berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan surat pengesahan masuk Islam dari negara asalnya telah dihalang daripada berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi. Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah. Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan beriskap pro-aktif!

Sewajarnya jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan proses perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqh ada kaedah "fath al-dharai'" (membuka jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah" (hukum kepada jalan yang membawa kepada sesuatu perkara adalah mengikut hukum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada bersabda: "Penunjuk jalan kebaikan akan mendapat pahala seperti pembuatnya".

Jabatan-jabatan agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus perkhawinan, tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun "karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh menjadikannya sebagai acara "Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran, forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut dijadikan acara sampingan.


2. Peranan IPT

Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini.

IPT-IPT juga wajar menganjurkan karnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat zakat juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang telah berkahwin akan dapat diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan pasangan-pasangan muda di IPT.

Yakinlah, jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah. Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terkahir mereka untuk menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan dihalang.


3. Simpanan khas

Para siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu. Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah matang dan mempunyai wawasan.

Kebiasaannya ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai. Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif, salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari sekarang!


4. Pendapatan sampingan

Di pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar negara menjadi "best seller". Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu rajin lebih sedikit sahaja.

Bagi yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya novel dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen, dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang melakukan pengkajian dan juga penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant). Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat-khidmat juga ruang yang boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi. Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan daripada MLM.

Apa yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa. Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin kerana kelemahan di bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah.

Pengalaman mencari duit di alam kampus juga akan membantu para siswa dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut seruan Allah dan RasulNya.


Kesimpulan

Tiada masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya. Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran idea-idea di dalam artikel ini hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan juga redha dan cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi? Ayuh segera mulakan langkah!

Mazlee Malik,
Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Islam di UIAM.

Kulit Dan Neraka

Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an, yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang KUFUR INGKAR kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan MEMBAKAR MEREKA DI DALAM API NERAKA. Tiap-tiap kali KULIT mereka MASAK HANGUS, Kami gantikan untuk mereka KULIT yang lain supaya mereka dapat MERASA AZAB SENGSARA itu dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH adalah MAHA KUASA, lagi MAHA BIJAKSANA.”

(Surah an-Nisa; 56)

Ayat di atas merupakan salah satu peringatan dan ancaman dari Allah SWT kepada umat manusia yang kufur ingkar kepada ayat-ayatNya. Saudaraku, pernahkah terlintas di fikiran kita, mengapa di dalam ayat ini Allah SWT menyatakan KULIT ?

Setelah memasuki Block Dermatology & Musculoskeletal System baru ana mengerti akan KEMUNGKINAN (sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui segala susatu) kenapa kulit yang Allah Nyatakan di dalam ayat ini. Jadi, marilah kita sama-sama telusuri dan berkongsi sedikit ilmu dan pandangan mengenai hal ini. Bukti Kebesaran Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Kulit

Kulit merupakan organ terbesar yang Allah SWT ciptakan pada tubuh kita. Ia meliputi 16% daripada berat tubuh. Secara histologi, kulit dapat dibahagikan kepada 3 bahagian utama iaitu :

  1. Epidermis – lapisan paling atas yang berasal dari ectoderm
  2. Dermis – lapisan connective tissue di bawah epidermis yg berasal dari mesoderm
  3. Subkutan – lapisan kulit paling bawah dan mengandung banyak sel lemak.


Histologi kulit manusia

Terdapat beberapa reseptor yang Allah SWT ciptakan pada kulit manusia. Antaranya ialah:

  1. Mechanoreceptor – receptor yang menerima ransangan tekanan, sentuhan & getaran.
  2. Thermoreceptor – receptor yang menerima ransangan suhu (sejuk/panas)
  3. Nociceptor – receptor yang menerima ransangan sakit.

Walaupun terdapat banyak receptor di kulit kita, tetapi receptor sakit merupakan receptor yang paling menarik minat saya. Jika ditinjau dari aspek neurologi, threshold receptor sakit lebih tinggi berbanding receptor-receptor lain. Jadi, ia hanya dapat mengesan stimulus yang melampau. Sebagai contoh, jika terdapat ransangan panas, ia akan dikesan oleh termoreceptor. Tetapi, jika haba yang diberikan terlalu banyak (melampau) maka reseptor pula sakit akan teransang.



Sakit

Saudaraku, rasa sakit didefinisikan sebagai suatu deria dan pengalaman emosi yang tidak disenangi, yang berasal dari stimulus yang dapat menyebabkan kecederaan atau yang berpotensi menyebabkan kecederaan pada tubuh. Rasa sakit merupakan amaran kepada kepada kita bahawa ada 'something wrong’ pada tubuh. =)

Kadang-kadang, dalam menghadapi kesakitan, kita mengeluh seolah-olah tidak redha dengan ketentuan tuhan. Dan yang lebih menyedihkan, ada yang “memaki” Tuhan di atas sakit yang menimpa.

Saudaraku sekalian, pernahkah kita terfikir bahawa di saat kita sedang merasai kesakitan, sebenarnya kita juga sedang mengecapi nikmat dari Allah SWT, Tuhan semesta alam? Nikmat yang saya maksudkan di sini ialah nikmat berupa keupayaan tubuh kita untuk mengesan rasa sakit.

Saudaraku, cuba kita bayangkan bagaimana keadaan kita jika Allah SWT mematikan semua nociceptor pada tubuh kita. Mungkin ada orang yang berpendapat “Syok la klo cenggitu, klo nak branak pun x la sakit” =p.

Tapi saudaraku, tanpa receptor sakit, kita tidak akan sedar yang tubuh kita sedang mengalami kecederaan. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami appendicitis (biasa orang sebut kne appendix) tidak akan tahu bahawa peradangan sedang terjadi di appendixnya. Maka dia akan tetap “tenang-tenang aja” (bak kata orang Medan), sedangkan inflamasi yang sedang terjadi boleh menyebabkan appendixnya pecah dan menyebabkan keadaan yang lebih parah.

Tanpa rasa sakit, orang yang mengalami kemalangan tidak akan sedar bahawa tulang rusuknya telah patah (close fracture) dan lebih teruk lagi, jika tulang yang patah itu menikam paru-paru atau jatungnya.

Penderita Coronary Heart Disease mungkin tidak dapat didiagnosis penyakitnya tanpa angina pectoris (sakit dada). Akhirnya, jantungnya mengalami ischemia (x cukup oksigen) kerana penyumbatan pada artery coronary (saluran darah yang membawa darah ke otot jantung) dan akhirnya dia mati akibat gagal jantung (heart failure), tanpa sempat didiagnosis dan diberikan terapi.

Maka benarlah bahawa menderita kesakitan juga merupakan salah satu nikmat dari nikmat-nikmat dari Allah SWT yang tidak terhitung banyaknya. Dan perkara ini membuktikan kebenaran firman Allah SWT di dalam al-Qur’an, yang bermaksud ;

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya...

(Surah an-Nahl;18)

Maka, sepatut dan seharusnyalah kita bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.

Allah berfirman di dalam surah Ibrahim, ayat ke-7 yang bermaksud ;
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu berfirman: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih.

(Surah Ibrahim;7)

Tetapi saudaraku, syukur tidak cukup hanya dengan lafaz “Alhamdulillah” tetapi, syukur kita haruslah dizahirkan dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Mantapkan amalan fardhu. Perbanyakkanlah amalan sunat. Kadang-kadang, ada orang menyangka bahawa dengan amalan fardhu sahaja sudah cukup baginya. Saudara, apakah kita akan berpuas hati jika setiap kali kita makan, hidangan yang disediakan hanyalah nasi putih, tanpa lauk pauk yang enak? Semestinya kita jemu bukan? Begitulah juga halnya dengan ibadah kita. Tanpa ibadah sunat, kita tidak akan dapat merasa apa yang dikatakan manisnya iman.


Seksaan Neraka

Saudaraku, jika kita merujuk kembali kepada terjemahan ayat ke 56 Surah an-Nisa, sedarkah kita betapa dasyatnya seksaan yang Allah sediakan bagi orang yang kufur? Kulit kita yang terbakar disiat oleh Malaikat Zabaniyah lalu Allah SWT menngantikannya dengan kulit yang baru, lalu di bakar lagi, dan disiat lagi. Begitulah halnya berterusan tanpa henti. Tujuan rasa sakit yang Allah ciptakan bukannya lagi berfungsi sebagai amaran bahaya tetapi kini berubah menjadi SEKSAAN. (Sedih saat ana menjalankan praktikum fisiologi dimana kami diminta menyediakan preparat nerve muscle dari katak. Semasa ana menyiat kulit katak, ana terbayangkan bagaimana menderitanya kita jika kulit kita disiat di neraka - na'uzubillah )

Rasulullah SAW bersabda ;
“Seksa terkecil bagi ahli neraka di hari kiamat ialah selipar api neraka, yang apabila dipakai, otak akan mendidih disebabkan panasnya”

Abu Hurairah RA berkata ;
“Jika ada seratus ribu orang lebih di dalam suatu masjid, lalu seorang ahli neraka menghembuskan nafasnya di situ, maka matilah semua orang di dalam masjid.”

Ketahuilah wahai diriku dan saudaraku, seseungguhnya Allah SWT telah menciptakan neraka dan kedasyatan untuk penduduknya. Allah SWt berfirman:
Takutilah mereka dengan hari penyesalan (kiamat), ketika dihukum tentang perkara yang telah dilakukan sedangkan mereka dalam kelalaian dan mereka tiada beriman”.

(Surah Maryam;39)

Sungguh, ini semua telah ditentukan dan akan menjadi kenyataan di hari kiamat, yang menghairankan, kita masih tertawa dan terpaut oleh kehinaan dunia. Kita tidak tahu bagaimana keputusan Allah untuk kita.

(Petikan dari Kitab Mukasyafah al-Qulub oleh Imam al-Ghazali)

Jika Allah telah memudahkan mu ke jalan yang baik, bergembiralah, barangkali engkau jauh dari neraka. Jika kau telah berniat ingin baik, tentulah akan dimudahkan buat menuju ke sana. Jika engkau berniat buruk, akan dimudahkan pula jalan ke sana (neraka). Allah Azza Wa Jalla berfirman;
“Sesungguhnya orang-orang yang baik dalam kenikmatan (syurga) dan sesungguhnya orang-orang yang jahat dalam neraka”
(Surah al-Infithar;13-14)


Ibnu Zukefeli,
University of Nothern Sumatera, Medan
18 Rabi’ul Awal 1430


P/S : Alhamdulillah...Akhirnya, setelah sekian lama ana tidak menulis disini, Allah kurniakan ilham dan kesempatan. Alhamdulillah.. semoga bermanfaat.



Bumi Kenangan-Medan

Medan. Sebuah kota yang amat padat dengan penduduk. Kadar pencemaran udara juga tinggi akibat lambakan kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya. Maka tidak hairanlah jangkitan saluran pernafasan atas (upper respiratory track infection) merupakan masalah kesihatan yang utama di sini. Kadar kemiskinan juga masih tinggi. Di sini, kita boleh melihat anak-anak yang berusia 5 tahun menjaja jajan (makanan ringan) dan surat khabar dari kenderaan ke kenderaan di persimpangan lampu isyarat untuk menampung kehidupan sehari-hari.

Tetapi.. bukan itu yang ingin saya nukilkan buat kali ini.. apa yang ingin saya coretkan ialah apa yang telah saya alami di sini, di bumi Medan...

Subhanallah.. Alhamdulillah.. La ilaha illah.. Allahuakbar...
Maha Suci Allah.... Segala puji bagi Allah.... Tiada Tuhan selain Allah.... Allah Maha Besar..


Ya Allah..
hanya pada Mu aku panjatkan segala kesyukuran...
sungguh besar nikmat yang Kau kurniakan padaku..


Ya Allah..
aku bermohon padaMu..
agar Kau kekalkan Nikmat ini hingga ke akhir hayatku...
dan aku mohon pada Mu wahai tuhan yang menciptakan ku...
kau matikanlah aku dalam aku sedang mensyukuri nikmatMu..



Di sini, di bumi Medan ini. Allah SWT telah temukan aku dengan Hamba-hambaNya yang hebat. Sahabat-sahabat yang menyedar dan mengingatkan diri ini tentang hakikat hamba, mengajar diri ini tentang kesempurnaan Sang Pencipta.


Ya Allah..
sungguh..nikmatMu ini amat besar..
kau temukan aku dengan hamba-hambaMu ....
yang telah menyelamatkan aku dari arus kelalaian dunia...
yang menyelamatkan aku saat aku terkapai-kapai..
yang mebimbing aku saat aku meraba-raba dalam kegelapan..


Ya Allah..
aku pohon padaMu..
tetapkanlah aku pada jalan menuju keredhaanMu..
sungguh aku tidak mampu melakukannya tanpa bantuanMu..
maka Ya Allah, bantulah aku..


Saat aku menghitung diriku, aku sedih, mengenangkan betapa banyaknya dosaku.


Ya Allah..
bantulah aku dalam membersihkan hatiku dari kotoran maksiat..

Ya Allah..
sesungguhnya hatiku ini dalam genggaman Mu..
aku pohon pada Mu..
janganlah Kau balikkan hati ini..
setelah Kau beri petunjuk padaku...


Di bumi Medan ini, Allah SWT kurniakan saya sahabat-sahabat yang hebat. Kehebatan mereka menambat dan menundukkan hati saya. Tetapi, segala kehebatan itu sedikit pun tidak dapat menandingi kehebatan Allah SWT.Kehebatan yang ada pada seseorang hamba membuktikan KEHEBATAN yang ada pada Sang Pencipta. Allah SWT mengurniakan kehebatan kepada hambaNya tanpa mengurangkan sedikit pun kehebatanNya.


Ya Allah..
hanya Engkau Tuhan yang wajib diibadati..
hanya Engkau Tuhan yang berhak dipuji..
dan hanya Engkau tuhan yang layak disyukuri..

.....................................................................................................................................................................

Kepada Ust. Wan, Abg Aizat, Abg Wansu..
Antumlah guru.. Antumlah teman..
Antumlah sahabat dunia akhirat...
Sungguh.. Ana kasih pada antum...
kasih ana pada antum kerana Allah SWT..


Ana memanjatkan seinfniti syukur kepada Allah SWT, Tuhan Rabbul Alamin..
Kerana menghadirkan antum dalam hidup ana..
Ana tidak tahu bagaimana ana dapat membalas jasa antum.
Hanya Allah yang dapat membalasnya...

Ana doakan semoga Allah sentiasa merahmati dan meredhai antum..
dan semoga ukhuwah yang terbina antara kita akan terus subur...
sehingga maut datang memisahkan kita...


“Ya Allah,
Engkau mengetahui bahwa hati-hati kami ini telah berkumpul di tempat ini karena mengasihi-MU;
bertemu untuk memenuhi perintah-Mu;
bersatu untuk memikul beban da'wah-Mu.


Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu.
Maka eratkanlah ya Allah atas ikatannya,
dan kekalkanlah kemesraan di antara hati-hati ini.
Tunjukkan kepada hati-hati ini akan jalan-Mu yang haq.
Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung padam.
Lapangkan hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu.
Hidupkan hati ini dengan ma'rifat tentang-Mu.


Dan jika Engkau mentakdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.”


Ameen...


Ibnu Zukefeli.
Medan, Indonesia.

SABAR, SIFAT MUKMIN.

“Hurm.. Petang ni layan Avatar (siri karton yag disiarkan oleh Nickleodeon) pun layan gak ni..” terlintas di hati saya. Lalu, tengahari itu, sesudah pulang dari kuliah, saya ke bilik Hafiz, kawan serumah untuk meminjam DVD Avatar miliknya. Kerana dia tiada dirumah, saya meminta izin dari dia melalui henset. Dalam masa yang sama, Rashid sedang menonton TV di ruang tamu rumah kos (asrama dlm Bahasa Indonesia) kami. Oleh kerana DVD itu tidak dapat dimainkan di laptop saya, saya mencuba pada laptop Hafiz kerana sebelumnya, DVD itu dapat ditonton menggunakan laptopnya.

Kerana minat sangat dengan Avatar, saya sanggup menunggu dan mencuba beberapa kali walaupun DVD itu tak dapat dimainkan. Setelah penat mencuba, akhirnya saya pasrah dan keluar dari bilik hafiz. Semasa membuka pintu bilik Hafiz, saya ternampak Rashid berjalan ke arah saya, dan seorang lelaki yang tak saya kenali sedang duduk di sofa ruang tamu.

Saya bertanya “Sape tu Rosid?”. Rashid menjawab, “Tak tau sape, diorang masuk tibe-tibe, pastu mintak nak pinjam pen. Ade dua orang”. Tedetik di hati saya, “Eh, die ni macam nak mencuri jer”. Mata saye meliar mencari dimanakah seorang lagi Hamba Allah yang Rashid maksudkan. Apabila sedar akan kehadiran saya, lelaki Indonesia yang duduk di sofa datang dengan gelabahnya menghampiri kami dan bercakap dengan nada yang perlahan dan sangat ‘lemah lembut’ sehingga kami tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan. Saya dan Rashid menumpukan perhatian kami pada butir percakapan dia.

Tiba-tiba, saya ternampak sahabat si ‘lemah lembut’ ini berjalan dengan tergesa-gesa keluar dari arah bilik saya yang pintunya terlindung disebalik dinding, menuju pintu rumah kami. Lalu si ‘lembut’ ini meminta izin untuk keluar dan memberi alasan mereka akan datang esok. Lalu mereke menaiki motor Honda-Supra X 125 meninggalkan kami yang masih dalam keadaan terpinga-pinga dan ‘blur’. Saya bertanya pada Rashid, “Rosid, yang sorang lagi tu masuk bilik aku ke?”. “Tak, tadi dia tak masuk”, jawab Rashid. Jadi, saya beranggapan bahawa mereka hendak mencuri, tapi apabila mereka menyedari Rashid tidak kesorangan di rumah, mereka membatalkan niat dan meninggalkan rumah kami.

Selepas sekitar 10 minit berlalu, baru saya sedar yang henset Sony Ericsson W700i saya sudah tidak dapat dikesan. Saya cuba miss call beberapa kali dan panggilan saya di’riject’. Barulah saya sedar bahawa sebenarnya mereka lari bukan kerana takut terkantoi, tapi lari kerana sudah mendapat habuan.

Sedih, Sifat Manusia.

Sebagai manusia yang lemah, saya akui bahawa saya tidak boleh lari dari perasaan sedih kerana kehilangan sesuatu yang saya sayangi, kerana Allah SWT mencipta manusia dan disertakan bersama manusia itu akal, nafsu dan perasaan. MasyaAllah! Sungguh hebat ciptaan Allah. Kehebatan Allah bukan sahaja pada penciptaan jasad manusia, tetapi penciptaan perasaan manusia sahaja sudah cukup membuktikan kekuasaan dan kehebatan Allah. Allah mencipta pelbagai perasaan pada manusia; ada ceria,gembira dan bahagia, tidak lupa juga sedih,derita dan sengsara.

Tetapi, sebagai hamba Allah yang beriman, manusia tidak boleh membiarkan dirinya dikuasai dan dipengaruhi oleh perasaannya. Sebagai contoh, Islam melarang ummatnya meraung-raung dan meratapi kematian! Ini kerana, orang yang meratapi pemergian orang yang dikasihinya itu, seolah-olah tidak redha dengan ketetapan Allah SWT. Akan tetapi, menangisi kematian ahli keluarga tidak dilarang oleh Islam, kerana Islam memahami fitrah dan lumrah manusia.

Sabar, Sifat Mukmin.

Sabar merupakan cabang utama dalam tazkiyatun nafs (melawan nafsu), dimana dengan cara mujahadah melawan nafsu, akan meningkkatkan tahap keimanan seseorang. Dengan sabar juga dapat membuktikan bahawa seseorang itu benar-benar beriman atau tidak. Hal ini diceritakan Allah SWT di dalam al-Qur’an :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji?”(Surah al-‘Ankabut, ayat 2)

Di dalam kitab ‘Mukasyafah al-Qulub’, Imam al-Ghazali rahimahu Allah membahagikan sabar dibahagikan kepada 3 bahagian.

  1. Pertama, SABAR dalam melaksanakan perintah Allah (taat). Barang siapa sabar dalam mentaati perintah Allah SWT, maka pada hari Kiamat Allah akan memberinya 300 darjat di syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi.
  2. Kedua, SABAR dalam meninggalkan larangan-larangan Allah. Barang siapa sabar dalam meninggalkan larangan-larangan Allah SWT, maka pada hari Kiamat Allah akan memberinya 600 darjat. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit ke tujuh dan bumi bumi ke tujuh.
  3. Ketiga, SABAR ketika mendapat bencana. Adapun orang yang sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari Kiamat Allah akan memberikan kepadanya 700 darjat di syurga. Tiap-tipa darjat antara Arasy dan Tsura.

Dugaan dan KetentuanNya.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Furqan, ayat 20 yang bermaksud :

.... dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain,...”

Maka, memang sepatutnya kita diuji dengan pelbagai ujian, kerana itulah hakikat hamba. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud :

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman ........

Saya mencadangkan saudara dan saudari untuk membaca artikel tulisan Ustaz Hasrizal yang bertajuk “Kamu Sentiasa Layak Diuji”.

Ulama’ membahagikan bencana dan musibah kepada tiga bahagian:

  1. Sebagai UJIAN.
  2. Sebagai PERINGATAN
  3. Sebagai AZAB.

Pertama, sesuatu keburukan yang terjadi kepada seseorang dikategorikan sebagai UJIAN dari Allah SWT apabila berlaku sesuatu yang buruk tehadap seorang yang beriman, sentiasa berbuat dan mengajak kepada yang makruf serta meninggal dan mencegah kepada kemungkaran. Maka, perkara buruk ini dikelaskan sebagai Ujian dari Allah SWT untuk menguji tahap keimanan si hamba ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji?” (Surah al-‘Ankabut, ayat 2)

Sebagai contoh yang paling tepat ialah fitnah yang dikenakan kepada Fahri, hero dalam novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy.

Kedua, sesuatu keburukan itu dikatakan sebagai suatu PERINGATAN dari Allah SWT, apabila keburukan itu menimpa seseorang yang mentaati perintah Allah SWT tetapi, kadang kala dia melakukan dosa. Lalu, Allah datangkan keburukan kepadanya sebagai peringatan di atas dosa yang dia lakukan.

Sebagai contoh, seorang hamba Allah yang taat, baru membeli sehelai baju yang cantik. Memang fitrah manusia mahukan yang cantik, maka tidak salah dia membeli dan memakainya. Akan tetapi, apabila hamba Allah ini memakai baju itu, timbul perasaan bangga dan riak di dalam hatinya, dan ditambah pula dengan sahabat-sahabatnya yang berkata, “Pergh.. Lawa sey baju kau. Mane kau beli? Mesti mahal baju ni.”

Suatu hari, ketika hamba Allah ini sedang men’strerika’kan (ni saya pn x pasti btoi ka x perkataan ni) baju kesayangannya, dia tidak sedar yang sterika yang digunakan terlalu panas, lalu akhirnya berlubanglah baju kesayangannya itu. Tetapi kerana keimanan yang masih ada di dalam hatinya, dia sedar bahawa ini adalah peringatan dari Allah SWT kepadanya di atas kesalahan dan dosa yang dia lakukan.

Dan yang ketiga, keburukan yang berlaku kepada seseorang dikategorikan sebagai AZAB Allah SWT apabila keburukan itu menimpa kepada seseorang yang kaki maksiat dan sentiasa ingkar kepada perintah dan larangan Allah. Maka, keburukan ini dianggap bala dan azab dari Allah SWT.

Musibah, Rela Dan Sabar.

Junaid al-Baghdadi RA berkata : “ Bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorangpun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar.

Telah berkata Adl Dlahak RA: “ Barang siapa tidak diuji antara tiap-tiap 40 hari dengan suatu bala, kedukaan atau musibah, maka tiada kebaikan baginya di sisi Allah SWT.

Ibnu Aththok berkata : “ Akan terbukti keteguhan dan kebohongan seseorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. Barangsiapa bersyukur di saat makmur, tetapi mengeluh bila ditimpa bencana, jelas dia orang yang dusta.

Maka, saya menyeru sahabat-sahabat dan diri saya sendiri terutamanya, untuk mendidik hati kita agar bersabar dalam apa jua keadaan. Kerana, sifat sabar adalah asbab kepada meningkatnya iman dan bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW, “ Sabar itu separuh dari Iman”. ("al-shabru nishful iimaan")

Allah SWT berfirman di dalam Hadis Qudsi :

“ Barangsiapa tidak rela dengan keputusanKu dan tidak syukur pula dengan pemberianKu, hendaklah dia mencari Tuhan Selain Aku!”.

Wallahualam.



ibnu zukefeli

18 Muharam 1430
Masjid Dakwah USU,
Medan, Indonesia.

Iklan

Iklan
Kami mengedarkan sarung kaki muslimat dengan pelbagai produk yang inovatif. Produk terbaru sekarang ini ialah sarung kaki wudhu. Pada saat ini, sarung kaki wudhu mendapat sambutan yang sangat luar biasa di pasaran Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Selain itu kami juga menyediakan sarung kaki ibu jari. Sarung kaki ini memudahkan muslimat untuk memakai selipar . Untuk maklumat lanjut, sila klik gambar di atas.

Medan, Indonesia

Malaysia

Kun 'Aliman

Download Audio Kuliah

Renungan

Rasulullah SAW bersabda
"Dunia itu mencari dan dicari. Pencari Akhirat akan dicari dunia, sehingga di situ sempurnalah rezekinya. Sedangkan pencari dunia akan dicari Akhirat, sehingga maut datang mencengkam lehernya."

About Me

My photo
Alhamdulillah... segala puji hanya layak untuk Allah SWT, Tuhan sekalian alam.. Allah kurniakan ilham kepada ana untuk menulis di blog ni.. dan ana harap dengan blog ini, ana dapat mencari keredhaan Tuhan Ar-Rahman. ameen..

Asmaul Husna